Thursday, December 31, 2009

Tak Mahu Hipokrit, Akhirnya Bertambah Dosa

Dipetik daripada www.zaharuddin.net

SOALAN

Untuk pengetahuan ustaz,ibu saya telah menyuruh saya memakai tudung ketika saya berumur 13 tahun lagi. Saya hanya menurut katanya kerana bimbang dimarahi. Walaupun begitu, sekarang saya tidak lekat memakai tudung. Ini diketahui oleh ibu saya, dia hanya mampu membebel dan berkata, adik nak buat dosa, adik tanggung la sendiri, ibu dah buat apa yang patut.

Sekarang saya sudah bekerja dan hanya memakai tudung di tempat kerja sahaja kerana di tempat saya, tindakan undang-undang akan dikenakan sekiranya pekerja tidak memakai tudung. Saya tahu hukum tidak menutup aurat, tetapi buat waktu sekarang, hati saya tidak terbuka lagi untuk terus menutup aurat (rambut dan leher).

Cara pemakaian saya tidak seperti rakan-rakan saya yang menutup aurat. Mereka bertudung tetapi pemakaian mereka tidak melambangkan imej mereka. Baju, seluar ketat yang menampakkan susuk tubuh.

Bagi yang memakai baju kurung, ada yang dari kain yang nipis dan jarang. Bagi yang berbaju kebaya, ianya terlalu ketat, berkain belah sehingga menampakkan betis dan jarang. Ada yang tidak memakai seluar tetapi memakai skirt panjang. Walaupun begitu, ianya ketat dan menampakkan garis pakaian dalam yang dipakainya.

Tudung yang dipakai pula tidak menutupi dada. Lelaki-lelaki yang memandang tidak berkelip melihat mereka. Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung. Tidak menunaikan solat, panjang tangan, mengumpat, melayan lelaki yang bukan muhrim, pengotor dan pelbagai karenah lagi. Walaupun saya tidak memakai tudung, saya menjaga solat, pemakaian dan tingkah laku saya.

Kawan-kawan saya ini ada menyuruh saya supaya terus memakai tudung tetapi saya tidak mahu menjadi hipokrit. Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh. Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang.

Semoga ALLAH membuka hati saya untuk terus memakai tudung. Amiin...

- Diera -

JAWAPAN

Ada beberapa perkara yang saudari utarakan dalam soalan dan ingin saya berikan respon ringkas. Iaitu :-

1) Isu tidak mahu bertudung ( menutup aurat) tanpa ikhlas kerana tidak mahu hipokrit serta tidak mahu berubah kerana disuruh.

Sebenarnya isu ini telah agak banyak saya sentuh di dalam artikel-artikel yang lalu seperti berikut :-

Namun demikian, disebabkan soalan ini ada menyentuh beberapa isu yang agak semasa dan kerap, saya berasa perlu untuk memberikan ulasan tambahan.

Begini ulasannya, Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah untuk menutup aurat dan bukan hanya bertudung.

Justeru, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri, dia tetap WAJIB di sisi Allah untuk melaksanakan kewajiban itu.

Sebagaimana seorang pemandu tidak berhemah warganegara Malaysia yang menetap di United Kingdom (UK), dia akan terpaksa mengubah cara pemanduannya kerana hemah pemandu di UK amat tinggi, sesiapa sahaja yang kurang berhemah akan segera mendapat teguran pemandu lain, malah adakalanya pemandu lain akan segera menelefon polis atau mencatat nombor plat kereta untuk diadukan kepada polis.

Atas sebab itu, pemandu yang asalnya ‘brutal' di Malaysia, TERPAKSA berubah di UK. Tidak kiralah sama ada dia berubah kerana hipokrit, terpaksa, tidak ikhlas atau apa jua sebab lauaran. Hakikatnya, dia MESTI berubah, kerana itu adalah system dan regulasinya. Mengabaikannya akan membawa mudarat kepada diri sendiri dan pemandu orang lain.

Sama seperti menutup aurat dan bertudung, itu adalah regulasi oleh agama Islam, mengabaikannya akan membawa mudarat spiritual kepada diri sendiri dan juga orang lain (kerana setiap lelaki yang melihat aurat wanita bukan mahram, akan berdosa dan dosanya dikongsi bersama oleh wanita tersebut).!

Justeru itu, hipokrit tidak boleh sama sekali menjadi PENGHALANG untuk mengerjakan semua KEWAJIBAN agama, termasuk menutup aurat. Ia adalah arahan Allah dan hak Allah untuk menguji hambanya.

Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Kewajiban untuk melakukan semua arahan wajib dan menjauhi larangan yang diharam tetap tertanggung di atas bahunya, walaupun dia tidak ikhlas atau masih gagal mencapai tahap Ikhlas.

Apa yang perlu diusahakan adalah terus menerus berusaha memperoleh ikhlas semasa melaksanakan perintah dan menjauhi larangan itu. Itu boleh dianggap sebagai adalah level kedua kesempurnaan ibadah. Level pertama adalah mesti melaksanakan tuntutan Islam.

Perlu diingat, jika seseorang menutup aurat dan menunaikan solat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, tidak juga solat atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya. Tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI. Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat.

Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

Kesimpulannya, ‘ingin berubah hasil hati sendiri', ‘tidak ikhlas' dan ‘tidak mahu hipokrit' itu semuanya hanya bisikan syaitan yang ingin menyesatkan hamba Allah agar terus menerus menjauhi kewajibannya. Sedarlah agar jangan lagi terpedaya, ingatlah berterusan dalam dosa sedang mengetahui hukumnya akan terus menerus menambah besar kemurkaan Allah swt dan akan menjadikan diri sama sekali TIDAK MAMPU berubah di satu hari nanti yang diharapkan.

2) MEREKA YANG BERTUDUNG TAPI TIDAK SEMPURNA DAN BERAKHLAK BURUK.

Sebelum mengulas, isu sebegini telah pernah saya ulas sbeelum ini di artikel : Bertudung Sambil Hina Hukum

Kembali kepada persoalan saudari, dari bait-bait ayat saudari, kelihatan saudari begitu benci dan terganggu serta terkesan dengan keburukan akhlak dan cara tutupan aurat rakan sekerja yang lain yang dikatakan memakai tudung tetapi ketat dan sebagainya. Sehingga saudari merasa mereka semua hipokrit, buruk perangai, pengotor dan sebagainya, walau bertudung.

Sebelum itu, saya perlu ingatkan saudari dikira bertuah kerana mendapat kerja di sebuah syarikat yang begitu perihatin dalam masalah agama sehingga mewajibkan kakitangan mereka untuk menutup aurat.

Satu perkara mesti jelas juga, semua wanita yang bertudung tetapi berbaju ketat, skirt panjang terbelah, berbaju kebaya sempit dan sebagainya, semua mereka berada di satu level pada pandangan Islam. Iaitu SEMUA SEDANG MELAKUKAN DOSA DAN SEMUA TIDAK MENUTUP AURAT.

Justeru, adalah SALAH bagi saudari menganggap ‘rakan sekerja itu' SEBAGAI MENUTUP AURAT TETAPI BURUK AKHLAK DAN BEROSA. Sebabnya, mereka juga TIDAK MENUTUP AURAT.

Malah jika mereka benar-benar menutup aurat sekalipun, adalah SALAH untuk merujuk kepada mereka dalam menetap pendirian sama ada saudari perlu sudah sampai masa untuk menutup aurat atau tidak.

Ingatlah bahawa yang diwajibkan oleh Allah bukanlah hanya bertudung kepala dan menutup leher, tetapi menutup seluruh bahagian aurat tubuh sebagaimana yang telah saya terangkan di dalam artikel ‘Aurat Wanita Apa Sudah Jadi'

Selain itu, adalah salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan uuntuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Jelas dari hadis Nabi s.a.w, dalam hal agama dan kepatuhannya, kita mesti sentiasa melihat mereka yang lebih dari kita, agar kita terus berusaha

Manakala dalam hal keduniaan, barulah kita disuruh oleh Islam untuk melihat mereka yang kurang berbanding kita, agar kita lebih tahu untuk bersyukur dan tidak dijangkiti penyakit tamak.

Sabda Nabi :-

خَصْلَتَانِ من كَانَتَا فيه كَتَبَهُ الله شَاكِرًا صَابِرًا وَمَنْ لم تَكُونَا فيه لم يَكْتُبْهُ الله شَاكِرًا ولا صَابِرًا من نَظَرَ في دِينِهِ إلى من هو فَوْقَهُ فَاقْتَدَى بِهِ ونظر في دُنْيَاهُ إلى من هو دُونَهُ فَحَمِدَ اللَّهَ على ما فَضَّلَهُ بِهِ عليه ..

Ertinya : Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu ia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya .. ( Riwayat At-Tirmidzi, 4/665 ; Hadis Sohih menurut Tirmidzi dan Albani)

3) WALAUPUN TIDAK MEMAKAI TUDUNG (MENUTUP AURAT) TETAPI MASIH JAGA SOLAT DAN MAMPU MENJAGA TINGKAH LAKU.

Tahniah atas kemampuan saudari untuk terus menjaga solat dan menjaga tingkah laku, namun solat yang hakiki dan ikhlas akan menghasilkan seorang yang gerun melakukan dosa, serta akan mendorong sesoerang untuk tanpa lengah menunaikan tanggungjawab yang diarahkan Allah.

Namun apabila saudari terus redha dalam pembukaan aurat sedangkan saudari menunaikan solat, ia bermakna solat saudari juga bermasalah. Tapi jangan pula mengatakan, "kalau begitu saya tak mahu solat kerana tak mahu hipokrit", ia telah kita bincang di atas tadi.

Juga, buktikan kepada diri bahawa jagaan solat saudari adalah benar-benar sebuah ketaatan dan bukan hanya kosong tanpa isi. Tanda awal ia adalah benar-benar sebuah solat adalah saudari akan terbuka hati dengan cepat untuk menutup aurat tanpa terkesan dek buruk perangai orang sekitar yang kononnya menutup aurat tetapi buruk.

Justeru, saya menasihatkan saudari agar segera keluar dari jenis individu yang saudari sendiri benci (bertudung atau tutup aurat tapi tak solat, mengumpat dsbgnya). Saudari membenci perangai mereka tetapi dari sudut pandangan agama, saudari sebenanrya adalah sebahagian dari mereka kerana :

Mereka yang menutup aurat dan buruk perangai adalah sama darjatnya dengan mereka yang solat tapi tidak menutup aurat.

Kedua-duanya tidak bertanggungjawab terhadap Allah dan sedang melakukan dosa.

Malah saudari juga patut bersyukur mendapat ibu yang prihatin soal kewajiban agama, terlalu ramai ibu di zaman ini yang hanyut dan lebih suka anak perempuan mereka mengikuti gaya yang disukai syaitan iaitu seksi.

Lalu apabila ibu menyuruh, Allah juga mengarahkan, maka saudari bukan sahaja berdosa kerana aurat saudari yang terbuka, malah juga berdosa kerana tidak mematuhi suruhan dan harapan ibu, selain berdosa melanggar arahan Allah.

Bukankah mentaati ibu dalam hal yang tidak membawa dosa adalah WAJIB?. Dan jatuh derhaka bagi seorang anak yang mengguris perasaan ibu, khususnya dalam hal nasihat ibu untuk kita mentaati arahan Allah swt.

4) BUKAN SEKARANG MASA UNTUK BERUBAH?

Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah. Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.

Kebaikan dan pelaksanaan tanggungjawab jangan sesekali ditangguhkan, kelak tidak kempunan di hadapan Allah.

Moga Allah membantu saudari untuk segera berubah dan terbuka untuk menerima jawapan ini.

Saya juga doakan saudari untuk segera berHIJRAH KE ARAH kebaikan, dan teruslah kita semua berusaha untuk ikhlas dalam semua amalan kita.

Selamat BEPRUASA SUNAT HARI TASYU'A DAN ASYURA.! (9 dan 10 Muharram iaitu pada 26 dan 27 Disember 2009 )

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

9 Muharram 1431

26 Disember 2009

p/S: Ayuh sahabat2. Sama2lah kita koreksi diri. Pesanan juga buat diri "Perbaikilah diri menjadi lebih baik" Entah esok lusa ajal datang menjemput. Tiada yang lebih indah di dunia ini melainkan keindahan wanita solehah yang terjaga akhlaknya, auratnya dan pergaulannya. Semoga bermanfaat buat diri dan semua=)

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Tuesday, December 29, 2009

Forum E-VOTING. Jom pakat2 mai!

Assalamualaikum W.B.T. Jom pakat2 mai.. bagi sape2 yang free pada 1 Jan 2010 jam 8.30mlm. Sama2 kita dengar taklimat tentang e-voting. Mungkin boleh menghilangkan sebarang kekeliruan yang timbul sebelum ini.

Saturday, December 12, 2009

Wacana Perdana yang hangat

Assalamualaikum wbt.
Setelah lama tidak menge'post' ape2 kat blog ni. Pada hari ini saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sewaktu menghadiri Wacana Perdana di Kelantan Trade Centre dua hari lepas. Wacana ini adalah anjuran kerajaan negeri Kelantan yang berjaya menghimpunkan ribuan rakyat Kelantan yang terdiri daripada pelbagai golongan sama ada orang bandar, orang kampung, tua, muda, profesional, agamawan dan berbilang fahaman politik. Mungkin juga disebabkan panelisnya yang hebat-hebat dan terkenal yang terdiri daripada ulamak dan ahli-ahli politik yang berbeza parti. Manakala, moderatornya pula adalah seorang yang tidak asing lagi iaitu Prof Madya Dr Muhammad Agus yang sering muncul sebagai pengacara 'HUJJAH' di tv9, Dekat di Hati..
Nik Amar, hujahnya bernas dan bersahaja. Beliau mendapat sokongan ramai penonton. Seorang ahli politik yang sangat berkaliber.

Tajuk yang dibincangkan adalah "Islam Di Malaysia REALITI & HARAPAN". Kupasan demi kupasan telah dibicarakan oleh setiap ahli panel. Semuanya mempunyai hujah yang tersendiri dan ada penyokongnya sendiri. Ada juga panelis yang siap bawa bukti-bukti keratan akhbar dan sebagainya. Barangkali untuk lebih menyakinkan para pendengar. Ahli panel dengan cara dan gaya yang tersendiri. Semuanya penuh semangat. Namun, masuk sahaja pusingan kedua forum ini bertambah rancak dengan perdebatan yang hangat antara ahli panel sendiri. Disambut pula dengan para penyokong masing-masing yang agak meninggikan suara dan kadang-kadang bertindak berlebihan. Inilah uniknya forum pada malam ini.

Dr Asri, hujahnya bersumberkan Quran & Sunnah. Banyak menegur akan sikap ulamak2 dan para pemimpin. Ramai penonton yang bersetuju dengan pandangannya.

Saya melihat sendiri akan gelagat para penontonnya. Ada yang mendengar dengan teliti, ada yang terus membantah walaupun sebelum ahli panel habis berbicara. Sebagai seorang yang profesional, kita sebagai pendengar perlulah mendengar setiap hujah ahli panel sebelum terus melatah. Kekadang ada benarnya juga apa yang ahli panel tersebut katakan walaupun dia berbeza fahaman politik dengan kita. Sikap fanatik jelas kelihatan pada gaya-gaya mereka. Bagi saya, kita semua adalah muslim. Tunjuklah akhlak yang sebaiknya di depan sahabat mahupun lawan kita. Janganlah dek kerana kita seorang boleh memburukkan nama semua. Jika mahu berdebat sama, silalah ke atas pentas bersama mereka. Mungkin masih ramai di kalangan kita yang menyokong sesuatu pihak atas dasar fanatik atau taksub bukan berdasarkan kefahaman dan ilmu. Inilah yang kekadang menyebabkan kita tersasar apabila apa yang salah pun dikatakan betul. Walaubagaimanapun, saya tetap setuju sekiranya mereka menyokong yang benar dan menyanggah yang batil.
Datuk Nakhaie, bekas Pengerusi YADIM.
Beliau turut mengulas tentang keadaan umat Islam di Malaysia dan turut menegur sikap pembangkang.

Ustaz Afandi Yusoff, Exco Pemuda UMNO.
Sangat lantang berkata-kata. Menghangatkan suasana dewan. Banyak membawa keratan akhbar dan lain2 sebagai penguat hujahnya. "Saya bawa peluru satu beg" katanya.

Siapa pun kita, jadilah orang yang rasional berfikir dalam suatu hal dan mestilah berlandaskan Al-Quran & Sunnah. Pilihlah untuk sentiasa berada di pihak yang benar kerana semuanya pasti akan disoal di Akhirat nanti. Banyak pengalaman dan pengetahuan yang saya dapat daripada wacana tersebut. .

Bagi sesiapa yang berminat untuk melihat video wacana tersebut bolehlah search di Youtube. Forum tersebut memang hangat dengan soalan2 yang agak pedas daripada moderator mahupun para penonton sendiri.

Sekadar perkongsian untuk merehatkan minda. Semoga bermanfaat buat diri dan semua.

.:.~ Tinta Nur Aziemah ~.:.

Wednesday, November 18, 2009

Selamat Bercuti..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Assalamualaikum wbt.
Selesailah sudah sesi pembelajaran saya untuk semester pertama. Syukur lillah di atas ilmu yang diperoleh sepanjang berada di UM. Kini, cuti sudah bermula. Semoga cuti kita ini dimanfaatkan sebaik mungkin dengan pelbagai aktiviti berfaedah. Inilah masanya kita meluangkan masa bersama keluarga setelah sekian lama tidak berjumpa. Jangan lepaskan peluang ini untuk amalkan budaya menziarahi saudara mara dan jiran tetangga. Ukhuwah dieratkan, kasih bersemi.. Selamat bercuti buat semua! Buat sahabat di UM, jumpa lagi di semester akan datang!

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Friday, November 13, 2009

Hidup tenang dengan berlapang dada..

Assalamualaikum WBT.

Sudah lama tidak mencoret kata. Mungkin disebabkan sedikit-sebanyak tempias kesibukan exam. Kali ini saya cuma nak menyelak sedikit tentang kes penangkapan Dr Asri yang heboh diperkatakan kini serta fitnah yang melandanya. Tiada apa yang boleh saya ungkapkan melainkan hanya mendoakan agar beliau sentiasa tabah dan meneruskan perjuangannya.

Saya tidak mahu mengulas panjang kerana tahu ada yang menyukainya dan ada yang tidak menyenanginya. Saya sendiri sudah muak dengan ungkapan wahhabi dan apa sahaja yang berkaitan dengannya yang dilemparkan terhadap Dr Asri dan orang-orang yang sealiran dengannya. Saya tidak salahkan mereka. Mungkin mereka hanya melihat pandangan di sebelah pihak sahaja. Sedangkan beliau sendiri mempertikaikan dan menjelaskannya di dalam web rasmi beliau di drmaza.com. Juga boleh dibaca pandangan rakan-rakan beliau seperti Ustaz Zaharuddin dan Ustaz Hasrizal di web mereka.
Pertemuan 2 tokoh yang kusegani.
Tok Guru turut mempelawa Dr Asri untuk memberi kuliah di medan ilmu Kota Bharu.

Saya sentiasa mengingatkan diri. Jadilah orang yang sentiasa berada di pertengahan dan sentiasa berlapang dada yang boleh meraikan mana-mana pun pandangan selagi mana ia bersandarkan hujah-hujah yang kuat dan sahih. Saya sendiri pun kekadang tidak bersetuju dengan sesetengah pandangan Dr Asri namun, sememangnya itulah hakikat manusia itu sendiri yang tidak dapat lari daripada sebarang kekhilafan dan kesilapan.

Teringat akan kata-kata Tok Guru Nik Aziz yang saya petik daripada seorang ustaz " Manusia musuh kepada apa yang mereka tidak tahu". Maka, beringat-ingatlah, mungkin apa yang kita bicarakan hari ini pada anggapan kita benar tapi mungkin tersilap disebabkan kejahilan kita sendiri. Ayuhlah kita semua bersatu dan usahlah berberpecah lagi. Menarik sekali pandangan Ustaz Zaharuddin dalam satu artikelnya tentang Satu Nasihat Buat Salafi & Khalafi Malaysia. Baca dan hayatilah artikel tersebut untuk pedoman.

Betapa kerdilnya diri.. Tiada perkataan boleh diungkap tatkala melihat umat Islam saling berpecah dan berkelahi sesama sendiri. Betapa sayu dan sedih sekali.. Bilakah mahu bersatu? Kuteringin sekali melihat Islam itu naik berdiri megah suatu hari.. yang di bawahnya umat yang saling berkasih-sayang kerana Allah. Saling hormat-menghormati antara satu sama lain dan kembali ke jalan yang lurus mengikut landasan Al-Quran dan As-Sunnah.

Sekadar perkongsian untuk menyingkap dan menginsafi diri. Moga bermanfaat buat diri dan semua.

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Jom sertai Bro MC!!


Assalamualaikum WBT.
Buat sahabat2 sekalian, jomlah sertai program menarik daripada Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) ini. Program ni terbuka kepada semua pelajar dari mana-mana universiti di Malaysia.

Tarikh pun amat sesuai kerana masa tu dah lepas exam iaitu pada 22, 23 dan 24 November ni.. Bayaran RM25 jah!! Nilah masanya kita nak tenangkan fikiran serta hilangkan stres sepanjang semester ini dengan pelbagai hidangan aktiviti bermanfaat yang sudah pasti berjaya mengisi jiwa-jiwa kita. Sertai sekarang!! Anda boleh isi borang terus menerusi blog http://bromc09.blogspot.com/. Wassalam.

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Sunday, November 1, 2009

Good Luck & Kek Coklat..

Assalamualaikum wbt..
Esok adalah hari exam buat sebahagian besar sahabat2 saya di Akademi Pengajian Islam. Good luck to all my friends!! Especially to my beloved roomates Cik adik manees, Fateen Innanie and Atifah. Buatlah yang terbaik ok.. Ingatlah GOOD LUCK BAD LUCK WHO KNOWS! Huhu.. Mereka sangat suka sindir saya dengan ayat tersebut semenjak saya sendiri yang ajarkan kepada mereka selepas balik dari siri motivasi Anas Zubedy dulu.. Hikhik! Dua hari lagi, tibalah time saya pulak exam..Harap2 Allah mempermudah segala urusanku dan semua sahabat2 seperjuanganku.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Teringat pula masa halaqah hari tu.. Seorang sahabat saya, Hidayah ada bawak kek coklat untuk kami semua. Katanya kek tu sempena besday roomatenya. Wow!! Ape lagi.. saya terus makan dengan penuh nikmat. Alhamdulillah rezeki. Huh..Tiba-tiba teringat plak ngan moist chocolate cake yang ma slalu buat kak umah. Hmm.. ma ni memang pakar bab buat kek ni.. Mana taknya setiap kali hari Raya, tak kira raye Aidilfitri ke Hari Raya Haji ke atau hari-hari biase pun ade je tempahan kek coklat.

nilah cake masakan my mum.. Hmm.. I luv it so much!!

setiap hari raye mesti ada cake ni.. ramai yang sukakannya terutama my cousins.. Huhu budak2 memang suka coklat!

Tak sabar rasanya nak balik beraye hujung bulan ni.. Harap-harap Raye Haji tahun ni lebih meriah. Bukan sekadar meriah pada luarannya tapi meriah juga dari sudut pengisian rohani kita. Penghayatan terhadap Islam semakin meningkat hendaknya.. InshaAllah.
Okay..

Sekadar perkongsian untuk merehatkan minda. Hehe..

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Thursday, October 29, 2009

Abah yang dirindui..


Assalamualaikum wbt.

Hari ini saya ingin berbicara tentang rindu. Rindu yang amat mendalam terhadap seorang insan yang paling penting dalam hidupku. Kehilangannya amat dirasai namun, kekadang rasa seperti wajahnya masih tetap segar di fikiranku seolah-olah baru semalam kehilangannya.

Insan yang amat kurindui tersebut adalah arwah abah tercinta iaitu Allahyarham Haji Mohd Amin Bin Majid. Beliau bertugas sebagai seorang guru Geografi dan Bahasa Melayu di SMKA Melor sewaktu di akhir hayatnya. Kenangan 8 tahun yang lalu kembali segar di ingatan..

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Sewaktu aku pulang ke rumah dari Maahad kira-kira jam 3 petang, aku masuk terus ke dapur. Nampak abah tengah makan nasi. Memang kebiasaan apabila pulang dari sekolah, abah akan terus menjamu selera untuk mengisi perut dan menghilangkan penat yang seharian di sekolah. Kemudian aku ke bilik ma. Ma kata abah sakit perut. Aku sangkakan mungkin abah hanya sakit biasa sahaja, maybe tersalah makan apa-apa kat sekolah.

Pada waktu petang, semua seisi rumah kelihatan cemas apabila lihat abah makin parah sakitnya. Perutnya agak keras. Aku berada di sampingnya, memicit-micit badannya yang kelihatan makin tak bermaya. Jiran terdekat turut datang. Orang yang paling cemas adalah ma. Dia terus bergegas ke klinik bawa abah. Doktor masukkan air dan bagi ubat. Doktor kata, kalau tak tahan kena bawa ke hospital jugak. Masa balik rumah, sakit abah masih belum reda. Kami tak sanggup melihat kesakitan yang ditanggungnya. Mama(mak sedaraku) mencadangkan agar abah dibawa terus ke hospital. Kemudiannya ma, abang dan bapa saudaraku pun terus ke hospital bawa abah.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

Di awal pagi.. Ma bangunkan aku. Ma pesan, tengokkan adik2. Ma nak pergi hospital. "Tadi AbahYa (bapa saudaraku) telefon.. Abah sesak nafas katanya.. Ma dah tinggalkan duit sekolah. Nor jalan kaki ye pegi tunggu bas. Ma tak dapat hantar pagi ni.."Kata ma dalam keadaan cemas dan bimbang. Kesian ma.. dahla malam tadi balik hospital lewat, kira-kira jam 1 pagi. Pagi ni kena pegi lagi hospital, bimbang apa-apa terjadi kat abah. Begitulah betapa eratnya hubungan kasih sayang dan cinta antara ma dan abah.

Aku dan kak long pagi-pagi lagi turun dari rumah untuk tunggu bas seperti biasa. Sungguh aneh! Kenapa bas sekolahku tak kunjung2 tiba. Sedangkan hari sudah makin cerah. Semasa sedang asyik bersama kakak dan sepupu-sepupuku ketika menunggu bas, tiba-tiba jiranku dengan menaiki motor datang ke arah kami. Aku tak menyangka apa-apa. Mak Cik Ha memberitahuku dan kakakku dalam nada tenang yang abah dah takde.. Bagai nak tercabut jantungku. Air mata berderai turun tanpa henti.. Kak Long menepuk bahuku. Dia kelihatan begitu kuat berbanding aku. Mana mungkin aku tak terkejut, baru semalam aku lihat abah sihat walafiat.

Kami pulang kembali ke rumah dengan deraian air mata. Di rumah, jiran tetangga sudah tiba untuk bertanya khabar berita. Aku naik ke atas rumah, semua adik-adik yang masih bersekolah rendah menangis teresak-esak. Aku lihat 2 orang adikku yang masih tadika dan Basyir yang baru berumur setahun lebih masih nyenyak tidur tanpa mengetahui akan hal yang terjadi. Kak Long pergi ke arah mereka dan memeluk adik-adik.

Tok saudaraku cakap "Jangan menangis.. Abah orang baik, dia pegi masjid selalu." Dia memujuk kami. Mak Long tiba dan memelukku. Katanya "Abah tak mati, tapi dia pergi berehat sekejap je..". Itulah antara ungkapan yang aku ingat daripada insan yang ingin menteteramkan hati buat kami yang masih mentah masa tu. Selepas itu, aku jadi makin tenang dan redha. Aku berhenti menangis dan membantu Cik Dah(mak saudara) untuk kemas-kemaskan bilik untuk urusan mandikan mayat.


~wajah ma tercinta.. wanita serba boleh~

Ma pernah bagitahu.. Abah menghadapi sakaratul maut sewaktu ma seorang sahaja di sisinya. Masa tu waktu Subuh. Bapa saudara dan abangku pergi solat subuh. Ma lah yang mengajarkan sendiri kalimah syahadah untuk abah dan mengingatkan abah agar sentiasa ingat pada Allah. Akhirnya roh abah yang kucintai diangkat mengadap Ilahi saat waktu subuh yang dingin. Semoga Allah merahmati abah, membebaskannya dari segala seksaan dan memberi sebesar-besar nikmat buatnya di alam Barzah dan di alam Akhirat. Ku berharap suatu hari nanti kami akan bertemu di syurga.

Kuingat lagi.. saat kuterjaga di waktu dinihari. Kulihat abah khusyuk sujud menghadap Ilahi. Tahajud sudah menjadi amalan hariannya. Dan aku termenung seketika tatkala melihat abah bertahajud, betapa dekatnya diri dia dengan Ilahi. Abah seorang yang agak pendiam tapi tegas dalam soal solat. Kami dilarang menonton tv selagi tak solat. Itulah yang aku ingat. Di waktu Maghrib, kami tak dibenarkan langsung tengok tv kerana masa tu waktu untuk bersiap untuk solat. Begitulah didikan abah. Selepas solat berjemaah, abah dan ma akan ajarkan sendiri anak-anak mengaji.

Walaupun abah hanyalah guru biasa tapi, minatnya dalam mendalami ilmu agama sangat menebal. Dia sangat suka membeli buku-buku agama dan kaset-kaset ceramah. Di juga pernah mengambil kelas agama di Universiti Malaya Nilam Puri untuk menambahkan ilmu. Dulu, waktu aku naik tingkatan satu pun, aku ke sekolah Maahad pun sebab abah. Masa tu aku confuse samada untuk ke SMKA(sekolah abah mengajar) atau Maahad. Tapi sebab lihat abah nak sangat lihat anaknya ke Maahad, aku pun ke Maahad. Ma kata abah sukakan Maahad sebab kalau masuk je kat sana, suasananya sunyi dan tenang.

Masa kecik-kecik dulu, kalau demam je, abah akan bawa aku ke klinik. Lepas balik klinik, abah akan tanya nak makan apa abah belikan. Masa tu hati gembira sangat. Nak makan ais krim ke, coklat ke semua dapat. Abah memang baik.. Kami dididik dengan penuh kelembutan namun dalam kelebutannya, ada ketegasan.

Kini, ma seorang sahajalah yang membesarkan kami. Bayangkan sudah lapan tahun ma membesarkan kami dengan kudratnya seorang. Aku amat mengaguminya. Dialah wanita serba boleh yang tak pernah kutemui. Pernah dalam satu masa, ma boleh menjadi seorang guru, seorang student dan seorang businesswoman. Semoga Allah memberi kekuatan buat ma dan memberi ganjaran sebesar-besarnya buat beliau.

Bagi sesiapa yang masih ada ibu dan ayah di sisi, hargailah tatkala mereka masih ada. Lakukanlah kebaikan sebanyak-banyaknya buat mereka.

Semoga bermanfaat buat semua. Perkongsian untuk menyingkap dan menginsafi diri.

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Wednesday, October 28, 2009

Jom Berlumba Dapatkan SYURGA!!


Bismillah..
Membuaknya hati tatkala membaca tentang nikmat-nikmat syurga. Ayuh, persiapkan diri.
Sesungguhnya kitalah yang menentukan sendiri sama ada kelak kita akan ke syurga atau ke neraka. Sebelum lakukan sesuatu, tanyakan dulu pada diri sama ada perkara ini boleh membawaku ke syurga atau sebaliknya. Ingatlah, kita hanya perlu bersabar sekejap sahaja kerana hidup di dunia tak lama. Dan sesungguhnya syurga itu adalah kekal selamanya.

Perhatikan nikmat-nikmat syurga yang dinyatakan di dalam Al-Quran serta hadis2 nabi yang saya ambil di laman forum http://ustazmelaka.net/forum/index.php?topic=223.msg355#msg355
Di dalam al-Quran, Allah menyifatkan syurga itu dengan beberapa keadaan seperti difirman oleh-Nya, bermaksud:

“Di dalamnya ada sungai-sungai daripada air yang tidak berubah rasa dan baunya, sungai-sungai daripada susu yang tidak berubah rasanya, sungai-sungai daripada khamar yang lazat rasanya bagi peminumnya dan sungai-sungai daripada madu yang disaring dan mereka di dalamnya memperoleh segala macam buah-buahan.”

(Surah Muhammad, ayat 15).

Di dalam syurga kelak, tidak akan ada penghuninya yang tidak berkahwin. Hal ini dijelaskan oleh Abu Hurairah, di mana Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya rombongan pertama yang masuk syurga seperti bulan pada malam purnama dan rombongan seterusnya seperti cahaya bintang yang bersinar di langit, masing-masing daripada mereka mempunyai dua isteri yang mana mereka dapat melihat sum-sum betisnya daripada luar kulit dan di dalam syurga tidak ada orang yang tidak menikah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Malah, mereka diberikan oleh Allah rumah yang diperbuat daripada mutiara dan ruangnya amat luas tidak terhingga. Keadaan ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

“Sesungguhnya di syurga ada rumah yang diperbuat daripada mutiara yang mempunyai ruang yang luas.” (Hadis riwayat Bukhari).

Ketika Rasulullah SAW di Mikraj pun, Baginda diperlihatkan bagaimana rumah dan keadaan tanah di dalam syurga seperti disabdakan oleh Baginda yang bermaksud:
“Di dalamnya ada kubah-kubah permata dan tanahnya adalah minyak wangi.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Amat rugilah bagi insan yang masih terleka dan dibuai mimpi duniawi setelah Allah menunjukkan akan nikmat yang tak ternilai harganya buat hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.

Kita umpama musafir yang menuju negeri Akhirat. Dunia hanyalah tempat persinggahan yang sementara. Moga bermanfaat buat semua. Peringatan buat diri dan semua..

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Rindukan SYURGA!

~sekadar gambar hiasan~
indahnya syurga tak dapat digambar dengan mata..


Assalamualaikum WBT.

Saya cukup terkesan dengan usrah bersama murabbiku sebentar sahaja tadi..
Kak Aina, kukenali dia sejak di asasi lagi. Dia adalah seorang berbangsa Cina yang telah memeluk agama yang mulia ini. Hari ini dia berbicara tenta Syurga.. Saya terpesona akan keindahan yang dibicarakannya. Hati meronta-ronta untuk menggapai syurga itu.

Namun, bukanlah semudah itu untuk memasukinya. Sesungguhnya syurga itu di sekelilingnya ada kesusahan manakala neraka pula di sekelilingnya ada hawa nafsu yang mengasyikkan. Di dalam al-Quran, Allah dah bagi tips bagi mereka yang mendambakan syurga. Hayati dan selami tafsiran Al-Quran di bawah bagi sesiapa yang bercita-cita ke sana.

"Maka adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu (wahai Muhammad) perkara yang benar, sama dengan orang yang buta matahatinya? Sesungguhnya orang-orang yang mahu memikirkan hal itu hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah dan tidak merombak (mencabuli) perjanjian yang telah diperteguhkan itu;

Dan orang-orang yang menghubungkan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh bimbang akan kemurkaan Tuhan mereka, serta takut kepada kesukaran yang akan dihadapi semasa soaljawab dan hitungan amal (pada hari kiamat);

Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat;

Iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.

(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.

Surah Ar-R'ad (Ayat 19-24)
Koreksi, perbaiki dan dekatkanlah diri kepada Pencipta kita. Mudah-mudahan kita di antara insan terpilih yang terawal memasuki syurgaNya.
Nasihat buat diri dan semua. Semoga bermanfaat.

"Ya Allah! Aku dambakan syurgaMu.."

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Monday, October 26, 2009

Israiliyyat (Part 1)

Jom bedah buku bersama saya..

Tajuk: Isu Israiliyyat dan Hadith Palsu Penulis: Dr. Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari

Bismillah..
Pada hari ini, kesedaran dalam penghayatan ilmu di kalangan umat Islam semakin meluas. Agama Islam disebar di mana-mana sahaja untuk tujuan mempengaruhi manusia agar dekat dan menghayati Islam dengan lebih mendalam. Namun, dalam keghairahan menyampaikan ilmu-ilmu agama, terdapat segelintir golongan agama yang terpalit dengan unsur-unsur Israiliyat dalam setiap ceramah dan tulisan mereka.

Mengapa ini berlaku? Mungkinkah hanya kerana keghairahan untuk mempengaruhi orang agar mendengar apa yang disampaikan atau mungkin juga untuk mendapat pengaruh yang luar biasa? Lebih baik kita teliti dulu apa itu Israiliyat agar kita tidak turut sama terpalit dengannya dalam setiap ucapan, tulisan bahkan kelakuan kita.

Menurut Dr al-Zahabi, Israiliyat adalah kisah atau peristiwa yang dinaqalkan daripada sumber Israiliy, dinisbahkan kepada Israil-iaitu nabi Ya'kub bin Ishaq bin Ibrahim. Kemudian ulama tafsir dan hadis telah memperluaskan maknanya kepada apa sahaja perkara yang dianggap tidak berasas sama ada berbentuk dongeng atau dahulukala.

Berdasarkan sejarah, orang Yahudi telah menetap bersama orang-orang Arab sejak dahulu lagi. Justeru, orang Arab suka bertanya pada mereka tentang perkara-perkara berkaitan sejarah lama berkenaan tokoh, peristiwa dan cerita-cerita tertentu. Ini adalah kerana mereka memiliki pengetahuan dalam kitab Taurat dan buku-buku agama yang lain.

Para sahabat seperti Abu Hurairah r.a dan Ibnu Abbas r.a juga ada bertanya Yahudi yang memeluk Islam tentang perincian sesuatu cerita terdahulu. Mereka melakukannya kerana faham akan keharusan yang diberikan oleh Nabi s.a.w dan pertanyaan tersebut adalah terhad dan tidak termasuk kepada aspek aqidah.

Pada zaman tabiin, proses periwayatan Israiliyyat menjadi semakin aktif disebabkan sikap masyarakat yang cenderung untuk mendengar cerita-cerita aneh. Kemudian, pada zaman tabi' tabi'in pula proses periwayatan menjadi lebih serius kerana munculnya golongan 'al-Qussas' iatitu penyampai berita yang tidak bertanggungjawab.

Kini, riwayat Israiliyat sebahagian besarnya terdapat dalam kitab-kitab tafsir secara meluas tanpa disedari oleh kita sendiri. Pada awalnya dahulu, kitab tafsir Al-Quran lengkap bersanad namun, sanad-sanad yang menghiasi matan-matan riwayat dibuang bagi tujuan meringkaskan dan meringankan saiz kitab-kitab tafsir yang penuh dengan rangkaian perawi.

Implikasi pembuangan sanad tersebut menyebabkan umat Islam tidak lagi dapa mengenalpasti yang manakah riwayat yang boleh diterima atau tidak. Dan yang paling membimbangkan adalah riwayat-riwayat Israiliyyat mewarnai sebahagian besar Tafsir bi Al-Ma'thur dan juga Tafsir bi Al-Ra'yi.

Satu ungkapan hukamak berkaitan bahayanya penyebaran riwayat Israiliyyat yang cukup baik untuk dihayati:

"Berapa ramai orang yang menolak suatu pandangan yang betul, disebabkan fahamannya yang sakit(salah)"

Mudah-mudahan bermanfaat buat semua.. Ada masa, saya akan terus membedah buku ini lagi ok. Semoga Allah merahmati guru saya, Dr. Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari, pensyarah Universiti Malaya Nilam Puri di atas kupasan cukup menarik dalam buku beliau. Saya amat menyanjunginya.

Teringat pula semasa saya dan dua sahabat datang melawat beliau dan keluarga di kediamannya di Kubang Kerian, Kelantan. Layanan yang diberikan dari beliau sekeluarga cukup istimewa dengan makanan yang lazat tersedia di samping keramahan isteri dan anak-anak ustaz yang comel-comel belaka. Hehe.

That's all. Wassalam

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Sunday, October 25, 2009

Nasib laptopku..


Bismillah..
Laptopku yang sejak akhir2 ini asyik "white screen" telah bertukar menjadi "black screen" semalm..
MashaAllah. Saya menarik nafas panjang..
Laptopku da tak boleh bukak.. Isk2. Inilah ujian Allah buatku di saat-saat exam makin tiba.
Saya akur akan takdirNya. Mesti ada hikmah yang besar di sebaliknya.

Hari ni saya bawak laptop ke Akademi Pengajian Islam utk dapatkan rawatan.. Hehe.
Namun, kedai baiki komputer tutup.. Huhu.. Mudah-mudahan Allah akan terus beri ketabahan buatku.

~ Mungkin saya merasakan ini adalah kesusahan buat diri tapi Allah lebih mengetahui yang terbaik buatku..~

.:. ~Tinta Nur Aziemah~ .:.

JAVA oo JAVA..


Assalamualaikum WBT.
Huhu.. Java language. I love it! But it is so complicated..
I have two examples here..

public class milesTokm {

public static void main(String[] args) {


double Km = new(miles);
int miles = i;

System.out.println("Miles"/t/t/t/t/t"Kilometres\n");
System.out.println(miles+"/t/t/t/t/t"+Km+"\n");

}

public static int i{
for (i=1; i <=10; ++i);
}

public static double new(int MILE){
double result:
result= MILE*1.609;

return result;
}


}

**********************************************************************************
I tried to build this project by JCreater software but so many errors.. so sad.
I cannot run this coding for my tutorial answer. Huhu..

But, I have a good news for the other question.. Hoho. Alhamdulillah!
Thanx nik coz gave me the answer..

import java.util.Scanner;
public class reverseInteger{
public static void main(String[]args){
int num=0;
reverse(num);
}

public static void reverse(int num) {

Scanner input = new Scanner(System.in);

System.out.println("please enter 5 integer only");
num = input.nextInt();

int remainder,remainder1,remainder2,remainder3,remainder4,remainder5;

int reNum1,reNum2,reNum3,reNum4,reNum5;
remainder = num%10;
reNum1 = num/10;
remainder1 = reNum1%10;
reNum2 = reNum1/10;
remainder2 = reNum2%10;
reNum3 = reNum2/10;
remainder3 = reNum3%10;
reNum4 = reNum3/10;
remainder4 = reNum4%10;
reNum5 = reNum4/10;
remainder5 = reNum5%10;

System.out.println("reverse number is" +remainder+remainder1+remainder2+remainder3+remainder4);
}
}

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

I can build and run this coding and the output is..

please enter 5 integer only
45623
reverse number is32654

Process completed.

++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

HUhu.. Thanx Ya Allah! I'm very happy now..

.:. ~Tinta Nur aziemah~ .:.

Saturday, October 24, 2009

Final Exam tak lama lagi..

gambar kenangan sewaktu belajar di Pusat Asasi Sains
Universiti Malaya (PASUM)

we must study hard just for Islam..

FINAL EXAM!! COMING SOON!!

04 NOV 2009
PROFESSIONAL WRITING(ENGLISH)

15 NOV 2009
INFORMATION SYSTEM

09 NOV 2009
PENGAJIAN AL-QURAN

11 NOV 2009
PROGRAMMING(JAVA LANGUAGE)

16 NOV 2009
EPISTEMOLOGI ISLAM

Doakan saya ya semua... Terutamanya ma tercinta kat Kelate.

"Ya Allah, kurniakanlah kejayaan buat diriku serta sahabat handaiku.." Amin.

GOOD LUCK to all my beloved friends especially to my classmates Nik, Atiyah, Alia and Waznah.

.:.~Tinta Nur Aziemah~ .:.

Bermulanya Tinta Nur Aziemah..

Assalamualaikum WBT.
Syukur dipanjatkan kepada ALLAH atas keizinanNya untuk kelahiran blog ini..
Blog ini adalah susulan daripada blog pertamaku yang sudah lama tak update berikutan ada beberapa masalah.
Mudah-mudahan dengan adanya blog ini, dapatlah diri ini berkongsi sedikit sebanyak perkara, idea dan pengalamanku dengan sahabat, ahli keluargaku di luar sana.
Wallahu'alam.

.:.~ Tinta Nur Aziemah ~ .:.

memories of Tok Ayah

Klik untuk dapatkan Buku2 Telaga Biru!!

Labels

My family..

My family..

Followers

 

Mutiara Tinta | Creative Commons Attribution- Noncommercial License | Dandy Dandilion Designed by Simply Fabulous Blogger Templates